PROSES PERKEMBANGAN (DEVELOPMENTAL
PROCESS)
Kanak-kanak yang pintar cerdas
kebanyakannya mempunyai potensi yang tinggi dalam perkembangan dan pertumbuhan
jika dibandingkan dengan seorang kanak-kanak yang normal(tipikal). Pintar
cerdas seringkali dikaitkan dengan seseorang yang mempunyai Intellectual
Quotient (IQ) yang tinggi iaitu berada pada tahap IQ 130 dan ke atas. Menurut
istilah Persekutuan Amerika Syarikat maksud pintar cerdas yang ditujukan kepada
kanak-kanak, pelajar atau belia adalah mereka yang mempunyai potensi dan
pencapaian yang tinggi dari pelbagai bidang seperti intelektual,
kreativiti, artistik, kebolehan kepimpinan dan juga mempunyai bakat dalam
bidang seni dan muzik yang mengagumkan serta mereka ini memerlukan aktiviti
atau perkhidmatan yang lain dari yang lain, perkhidmatan yang tidak dapat di
perolehi di sekolah biasa demi meningkatkan tahap kebolehan mereka.
Golongan seperti ini memerlukan program
pembelajaran yang berbeza atau perkhidmatan pada tahap yang lebih tinggi
berbanding dengan program-program yang dianjurkan oleh sekolah untuk
pelajar-pelajar normal(tipikal) yang biasa. Program yang khusus adalah perlu
bagi menyedari sumbangan mereka terhadap diri sendiri dan Negara. Kurikulum
yang berkesan untuk pelajar-pelajar pintar cerdas dan berbakat adalah kurikulum
asas yang telah diubahsuai bagi memenuhi keperluan mereka. Kurikulum yang telah
diubahsuai mestilah sesuai dengan ciri-ciri peribadi dan kelebihan setiap
pelajar. Bagi mengenalpasti keunikan peribadi pelajar-pelajar ini adalah agak
sukar.
Bagi memenuhi keperluan pelajar-pelajar
ini, guru perlu mengubahsuai isi kandungan pengajaran yang terdiri daripada
idea-idea, fakta, konsep dan maklumat deskriptif mengikut keperluan pelajar.
Pelajar-pelajar pintar cerdas berbakat ini bersifat kreatif dan suka mencuba
sesuatu yang baru. Keadaan ini menyebabkan mereka suka mencipta kelainan dan
cenderung mencipta sesuatu yang baru. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran,
guru boleh menggalakkan pelajar-pelajar ini menjalankan projek secara
bersendirian atau berkumpulan. Pelajar-pelajar ini juga sangat digalakkan untuk
meneroka dan mempelajari sesuatu pelajaran mengikut kaedah yang sesuai dan
disukai oleh mereka. Guru juga perlu menyediakan berbagai aktiviti yang menarik
dan kreatif di samping mengelakkan daripada menggunakan aktiviti dan pendekatan
yang sama. Hal ini, dikhuatiri pelajar-pelajar pintar cerdas berbakat akan
merasa bosan sekiranya guru menggunakan cara dan kaedah yang sama dengan
pelajar yang normal(tipikal).
Keberkesanan kurikulum yang telah
diubahsuai boleh dinilai dengan melibatkan pelajar pinatr cerdas dan berbakat
ini dalam aktiviti penyelidikan dan penyelesaian masalah. Di samping itu,
penguasaan kemahiran asas perlu diuji dan ditingkatkan mengikut tahap dan
konsep kemahiran yang lebih tinggi. Tidak semestinya semua program yang
bersesuaian dengan seseorang pelajar turut sesuai dengan pelajar yang lain.
Setelah dikenalpasti melalui penilaian dan pentaksiran yang guru jalankan maka
mudah bagi guru untuk menentukan program-program yang wajar bagi
pelajar-pelajar pintar cerdas berbakat ini ikuti.
Kanak-kanak pintar cerdas boleh dibantu
melalui tiga jenis program; pengasingan, pemecutan (acceleration) atau
pengayaan. Dalam program pengasingan, kanak-kanak diasingkan daripada rakan
sebaya di mana mereka disediakan kurikulum khas yang mampu menggalakkan
kebolehan istimewa mereka. Pengasingan ini bertujuan mengeluarkan kanak-kanak
daripada kelas biasa yang tidak dapat membantu perkembangannya secara optima.
Program pemecutan pula boleh dilaksanakan
dengan dua cara. Satu cara ialah dimana kanak-kanak ini dikeluarkan daripada
bilik darjah mereka untuk subjek-subjek spesifik. Mereka dimasukkan ke kelas
pada peringkat lebih tinggi yang sesuai dengan perkembangan mereka untuk subjek
tersebut. Maka mereka akan belajar dengan murid yang lebih tua daripada
mereka(senior). Cara kedua ialah di mana murid tersebut disediakan dengan
rancangan khas dalam kelas yang sama. Rancangan ini membantu mereka belajar
sesuatu bidang kemahiran mereka pada kadar yang lebih cepat berbanding dengan
rakan sebaya. Karen Roger (1991)
juga mencadangkan bahawa program pemecutan akan lebih memberi manfaat apabila
dilaksanakan pada tahap umur berbeza;
· Pendidikan permulaan : kemasukan awal,
melangkau kelas, pembelajaran bukan di kelas, memampat
kurikulum.
· Pendidikan menengah rendah : melangkau kelas, memendekkan kelas
(grade telescoping), pendaftaran serentak (concurrent enrollment),
pemecutan berasaskan subjek dan memampat
· Pendidikan menengah atas : pendaftaran serentak di
sekolah dan universiti (concurrent enrollment), pemecutan berasaskan
subjek, kelas AP (advanced placement), program mentor, kredit melalui
peperiksaan (credit by examination), dan kemasukan awal ke pengajian tinggi
Manakala, program pengayaan merupakan
program yang melibatkan pendekatan yang menyediakan pengalaman pengayaan sama
ada di dalam kelas atau di luar kelas. Misalnya aktiviti tambahan seperti
lawatan ke muzium atau perpustakaan Negara.
Bagi membantu proses perkembangan pelajar
pintar cerdas dan berbakat ini, semua pihak perlu melibatkan diri sama ada ibu
bapa, penjaga pelajar, guru pembimbing mahupun rakan-rakan. Memiliki anak
pintar cerdas dan berbakat ini adalah satu cabaran kepada ibu bapa dan guru.
Ibu bapa perlu mengetahui keperluan dan pendekatan yang sesuai bagi anak-anak
ini. Di samping itu, ibu bapa dan guru tidak boleh terlalu memaksa anak-anak
ini melakukan sesuatu pada tahap yang terlalu tinggi jika tidak dengan kemahuan
anak-anak tersebut. Sebagai contoh, anak-anak pintar cerdas dan berbakat yang
layak memasuki universiti pada usia yang sangat muda perlu dipertimbangkan dan
diambil kira dari segi kematangan mereka. Adakah mereka boleh menyesuaikan diri
dan mengurus kehidupan seharian dengan baik. Sekiranya anak-anak ini
menunjukkan tingkah laku yang positif, mudah menyesuaikan diri dengan tempat
dan persekitaran yang baru, dan ingin mencabar diri melakukan sesuatu yang
baru, anak-anak pintar cerdas ini boleh meneruskan dan menerima tawaran memasuki
universiti tersebut.
Selain itu, ibubapa perlulah bersedia
untuk mengeluarkan perbelanjaan yang agak tinggi bagi kanak-kanak yang
dilahirkan cerdas dan berbakat ini. Keperluan kanak-kanak pintar cerdas
berbakat ini tidak sama seperti kanak-kanak yang lain. Sebagai contoh
kanak-kanak yang dapat memasuki universiti pada usia yang muda sudah tentu
memerlukan belanja dari segi yuran pengajian, peralatan pengajian, tempat
tinggal, dan keperluan lain. Tempat tinggal yang disediakan untuk kanak-kanak
ini sudah tentu sangat kondusif dan dilengkapi dengan kemudahan infrasruktur.
Pihak yang menyediakan tempat tinggal dan peralatan bagi kanak-kanak pintar
cerdas dan berbakat ini juga memerlukan biaya dan perbelanjaan yang sangat
tinggi bagi mengekalkan kualiti dan keselesaan kepada kanak-kanak ini.
Di samping itu, makanan yang disediakan
untuk pelajar-pelajar ini juga sangat dititikberatkan dari segi kualiti dan
khasiat makanan tersebut. Semua makanan yang disediakan adalah makanan yang
berkualiti tinggi, berkhasiat dan memenuhi keperluan fizikal pelajar. Hal ini
adalah kerana makanan yang berkualiti tinggi dan berkhasiat dapat membantu
proses perkembangan pelajar-pelajar ini. Pelaburan dari segi kewangan dari
ibubapa dan pihak yang terlibat adalah sangat banyak bagi memenuhi keperluan
pelajar-pelajar ini dari pelbagai aspek.
Proses perkembangan pelajar-pelajar pintar
cerdas dan berbakat ini juga memerlukan tenaga kerja dan masa daripada pihak
ibu bapa dan lebih-lebih lagi daripada guru. Cabaran yang perlu dihadapi oleh
guru adalah perlu mewujudkan persekitaran yang positif yang mana
pelajar-pelajar ini tidak rasa disisih daripada rakan sekelas yang lain. Guru
perlu mempunyai hubungan dan komunikasi yang baik dengan ibubapa setiap pelajar
bagi mengetahui dan mengenali diri serta kebolehan pelajar. Guru juga perlu
memupuk dan memberi pendidikan yang sempurna supaya pelajar-pelajar ini dapat
mempelajari sesuatu perkara dalam pelbagai aspek.
Walaubagaimanapun, adalah penting untuk
memahami bahawa tidak semua pelajar mempunyai kecerdasan dan bakat yang sama
dan akan mencapai matlamat yang sama. Setiap pelajar mempunyai kecerdasan dan
kelebihan bakat yang berlainan, memerlukan pendekatan dan akan mencapai
matlamat yang berbeza untuk masa depan mereka. Justeru, kita dapat lihat bahawa
pelaburan dan pengorbanan dari segi kewangan, tenaga dan masa oleh ibu bapa dan
guru sangat membantu proses perkembangan pelajar-pelajar pintar cerdas dan
berbakat ini.
Seterusnya, mari kita lihat sub-komponen
terakhir yang terlibat dalam proses perkembangan adalah kemajuan
(progress). Dalam Differentiated
Model of Giftedness and Talent (DMGT), pelajar
pintar cerdas dan berbakat ini pada permulaannya boleh dibahagikan kepada empat
peringkat iaitu novice,
advanced, proficient, and expert. Jadi, dalam setiap peringkat ini
akan diwakilkan dengan kuantitatif kadar. Kuantitatif kadar disini bermaksud
kita melihat seberapa cepat pelajar-pelajar ini mencapai matlamat yang telah
ditetapkan. Contohnya, setiap pelajar akan mempunyai matlamat yang telah ditetapkan
beserta dengan jangkaan masa yang diperuntukkan. Jadi, guru akan melihat
seberapa cepat pelajar-pelajar ini mencapai matlamat yang telah ditetapkan,
samada cepat sebelum atu selepas masa yang ditetapkan.
Akhir sekali, setiap anak-anak mempunyai
hak untuk menerima pendidikan seperti kanak-kanak tipikal yang lain walaupun
mempunyai masalah atau kekurangan upaya. Jadi ibubapa perlulah peka terhadap
segala perkembangan dan masalah yang didahapi oleh anak-anak mereka supaya
intervensi awal boleh diambil.
No comments:
Post a Comment